Showing posts with label Coretan. Show all posts
Showing posts with label Coretan. Show all posts

Thursday, 9 March 2017

Penukaran Nama Blog Baru ke COSTUS GALLERY




Assalamualaikum 

Saya selaku empunya blog ini ingin memberitahu akan menukar nama blog yang baharu dari 'Little Pumpkin' ke 'Costus Gallery'.

Alhamdulillah sudah mendaftar dengan 'SSM' setelah bertahun berniaga online , namun tiada rezeki hendak menggunakan nama 'Little Pumpkin'. Nama ini diambil sempena nama saintifik sejenis pokok bunga. Gambar dari google


Yang menarik nya kelopak merah itu boleh dimakan, rasanya masam dan berair bila digigit


Itu bunganya yang sedang kembang 


Sejajar dengan penukaran nama ini juga Costus Gallery akan menambah pelbagai jenis barangan jualan selain daripada  barangan yang sedia ada. Sokongan anda adalah amat dihargai. Untuk mengetahui apa yang akan ditawarkan oleh Costus Gallery jangan lupa like page di Facebook juga rajin-rajin kan jari jemari anda mengklik ke rafeahmat.blogspot.my

Wassalam.


Monday, 14 September 2015

Air Minum Bersih Dengan Coway - Villaem


Assalamualaikum

Pernah dulu menulis mengenai kualiti air di kawasan perumahan saya, air 'direct' dari paip ada masanya berbau dan kebiasaannya berwarna perang malah sering kali melekat di pakaian apabila dibasuh dalam mesin basuh.  Kami memilih jenama Coway sebagai penapis air minuman di rumah.

Alhamdulillah kini saya tidak  perlu risau dengan kualiti air minuman ditambah tidak perlu menjerang air bercerek-cerek kerana kami sekeluarga kuat minum air kosong  dan yang penting ianya  bersih.  Terdapat pelbagai jenis penapis air minuman dari jenama Coway dan pilihan  kami sekeluarga adalah jenis Villaem.

Saya cuma bercerita mengenai jenis ini saja, mana tau ada dikalangan anda yang sedang memikirkan jenis mana yang sesuai untuk dipasang dirumah.


Sebelum pemasangan pastikan ruang untuk meletak mesin air ini sesuai dan mudah untuk digunakan. Ia juga memerlukan bekalan elektrik bagi memastikan air panas dan sejuk berfungsi, jadi ia memerlukan soket 'plug' juga punca air 'direct' dan salur untuk  air kotoran juga perlu ada. Jangan risau semua ini akan dibantu oleh 'technician' Coway untuk memberi nasihat agar kerja-kerja yang dilakukan nampak kemas.

Jenis Villaem ini amat sesuai untuk penggunaan yang kerap kerana mempunyai kapasiti air sebanyak 11 liter. Untuk permulaan air di dalamnya perlu dibuang terlebih dahulu menggunakan salur getah yang diberi sebelum ianya boleh diminum. Terdapat 4 jenis suhu air dari jenis ini iaitu panas, suam, sejuk dan suhu bilik. Jika berlaku ganguan elektrik, air masih boleh diminum pada suhu bilik. 
Pembeli juga akan dibekalkan dengan  aksessori  saluran getah menadah air jika ingin digunakan dalam kuantiti yang banyak, ia memudahkan kita sekiranya mengadakan jamuan makan di rumah. Pengunaan elektrik juga amat berpatutan dan anggaran dalam RM10 ke RM15 sebulan jika banyak menggunakan air panas atau yang sejuk.





Saya rasa sungguh mudah kini apabila ingin membuat air teh O panas yang menjadi kegemaran kami sekeluarga, suhu air panas nya boleh dilaras antara 45-95 darjah Celcius. Untuk air sejuk juga begitu, boleh dilaras dari suhu bilik, sederhana sejuk hingga ke sangat sejuk. Amat mudah juga untuk membuat ais sendiri, cuma laraskan air ke suhu paling sejuk isi dalam bekas dan diletakkan di dalam 'freezer' ia akan membeku lebih cepat.

Antara ciri luaran Villaem ini yang sangat menarik perhatian hati saya ialah apabila waktu malam, lampu akan dengan sendirinya menyala seperti gambar dibawah seakan 'alien spaceship' jelas dan kita tidak perlu risau tersilap tekan air panas atau sejuk. 


Secara keseluruhan nya saya amat berpuas hati dengan mesin air Viallem ini. Setiap 2 bulan mesin air ini akan di servis bagi memastikan air minuman sentiasa berada ditahap kualiti yang baik. Ia boleh di beli secara tunai atau secara sewa beli mengikut kesesuaian budget masing-masing. 

Agak sukar juga untuk memilih jenis penapis air namun pemilihan  jenis ini dimudahkan  dengan penjelasan yang baik dari agen Coway 'Sabrina', pemasangan juga dilakukan dengan kadar segera.

Jika ada yang berminat boleh menghubungi beliau seperti yang tertera dibawah



Saya berharap anda membuat keputusan yang bijak dalam memilih penapis air minuman untuk keluarga tersayang dan sedikit sebanyak memahami ciri Villaem ini.

Wassalam












Monday, 30 March 2015

Pemberitahuan

Assalamualaikum

Hanya untuk makluman, diharap segala pertanyaan méngenai produk yang dijual oleh 'LP' dapat dilakukan melalui pm di page  https://www.facebook.com/pages/Little-Pumpkin/1408832399336427?ref=hl

Ini berikutan dengan masalah Telefon bimbit yang tidak dapat di elakkan, akan cuba atasi masalah ini secepat mungkin. Segala kesulitan adalah amat dikesali. ( mungkin mengambil masa 2 minggu)

Bagi mereka yang telah membuat pertanyaan melalui 'WA' diharap dapat pm di page untuk urusan seterusnya.
Terima kasih

Wassalam



Tuesday, 17 February 2015

Hotel Natalia di Simpang Empat Perlis

Assalamualaikum

Semasa cuti sekolah hujung tahun lepas, kami sekeluarga berkesempatan berkunjung ke negeri Perlis sebentar ( transit selepas balik dari Pulau Langkawi sebelum pulang ke Cameroon Highland). Lama sungguh  saya tidak ke Perlis, keadaan trafik memang sungguh berbeza dengan Bandar Baru Bangi yang sentiasa sibuk walaupun ketika larut malam. Pada waktu malamnya sungguh dingin dengan angin yang digelar 'winter wind' oleh penduduk tempatan (hanya berlaku pada hujung tahun)

Disini ingin saya menwar-warkan akan tempat penginapan kami di hotel 'budget' Natalia yang terletak di Simpang Empat Perlis.

                                 

Sungguh selesa dan seakan-akan berada di dalam rumah sendiri apabila kasut atau selipar yang dipakai harus dibuka terlebih dahulu sebelum memasuki bangunan ini. Keadaan di dalam hotel sangat bersih dan pekerja yang ramah dan  sedia membantu termasuk memberi  tunjuk arah tempat-tempat menarik disana. Di bawah hotel ini ada sebuah warung makan dan juga kedai runcit.  Memandangkan kami sekeluarga hanya duduk 1 malam sahaja jadi tidak banyak tempat yang kami tuju namun sempat ke Padang Besar, makan laksa Perlis Mak Usu dan  'seafood' di kedai Mona Ikan Bakar berdekatan dengan jeti Kuala Perlis.

Ruang menonton juga disediakan di lobi utama hotel disamping televisyen yang disediakan didalam setiap bilik.

                            


Berikut adalah harga untuk bilik-bilik yang disediakan :-
Bilik standard -RM85.00 semalam 
Bilik deluxe -RM125.00 semalam 
Bilik family -RM155.00 semalam

                               




Berkenalan dengan pemilik Hotel Natalia yang 100% milik bumiputera, masih muda dalam pandangan saya . Puan Che Nolia Mat isa dan En. Abu Bakar Sudin, mereka sangat baik, tidak sombong (down to earth) juga peramah orangnya.

Jika anda berkunjung ke Perlis boleh lah cuba untuk menginap di sini dan tempahan  bilik boleh dibuat melalui nombor ini 012 4219088 . Semoga hotel Natalia semakin maju dan mendapat perhatian umum. InsyaAllah jika kami sekeluarga ke Perlis lagi destinasi 'check in' kami ialah Hotel Natalia.

Wassalam.






Monday, 2 February 2015

Kelebihan Masak Makanan Awal

Assalammualaikum

Sudah menjadi rutin harian saya masak makanan tengah hari awal pagi selepas menyediakan sarapan pagi.  Semasa melayan  karenah anak-anak bersarapan pagi sebelum ke sekolah dalam kepala sudah mula ligat berfikir hendak  masak menu apa untuk makanan tengah hari juga merangkap makan malam nanti. ( kecuali bulan Ramadhan)

Bagi saya lebih mudah masak awal kerana selepas itu banyak perkara yang boleh dilakukan. Kebiasaanya dalam pukul 10 lebih semua kerja memasak dan mengemas telah siap. Sebelum waktu anak-anak balik sekolah, masa itu lah saya habiskan masa dengan 'blog walking' , mencari maklumat dan  sedikit pembacaan melalui atas talian.



Di Cameron Highland ini, walaupun cuaca cantik di luar dan agak panas tetapi di dalam rumah masih berasa  sejuk.  Makanan juga cepat sejuk dan kurang risiko menjadi basi,  saya akan memanaskan  makanan terlebih dahulu  sebelum  ianya dijamah.  Ini lah salah satu kelebihan suri rumah dapat  memastikan anak-anak dan suami makan makanan yang dimasak sendiri di rumah.(kadand-kadang makan juga direstoran terutama hujung minggu)

Kelebihan lain apabila kerja rumah dan memasak dilakukan awal,  apabila tiba waktu anak-anak pulang dari sekolah masa akan lebih tertumpu kepada mereka.  Ramai juga yang bertanya kenapa masak awal setiap hari jadi inilah jawapannya. Setiap orang mempunyai perancangan harian yang berbeza namun bagi saya tiada salah dan ruginya jika kita lakukan sesuatu lebih awal dan saya selesa dengan rutin sebegini.

Wasalam


Friday, 9 May 2014

Sampah Dan Lalat di Bandar Baru Bangi

Assalamualaikum

Sampah dan lalat memang tidak dapat dipisahkan, apabila bercakap tentang sampah ini banyak kategorinya, apa yang saya hendak  tekankan di sini ialah sampah bahan buangan dan sisa-sisa makanan.  Masalah kelewatan pemungutan sampah di kawasan Bandar Baru Bangi bagi saya adalah sangat kritikal, jika dahulu sampah akan dipungut 3 kali seminggu dan tetap harinya tetapi sekarang hanya 1 atau 2 kali sahaja.

Faktor cuaca negara kita  yang panas dan lembab ini mendorong kepada bau yang kurang menyenangkan (busuk) apabila sampah dan sisa makanan tidak dipungut secara kerap dan berjadual. Ini ditambah pula dengan tempat simpanan sampah adalah dibahagian hadapan iaitu di tiang pagar masuk dihampir kesemua  rumah. Ulat-ulat kecil berwarna putih acapkali dilihat di dalam timbunan sampah yang lewat dipungut itu. Lalat juga semakin banyak sehingga berasa tidak selesa ketika menjamu selera didalam rumah sendiri dan semua tahu bahayanya lalat terhadap kesihatan manusia. (boleh menyebabkan diare)

Sumber:google


Makanan perlu sentiasa diawasi agar tidak menjadi tempat singgahan si Lalat, kerana ia suka bertelur di atas makanan terutamanya masakan jenis bersambal. Keadaan semakin buruk selepas sekembalinya dari pasar kerana  perlu membersihkan ikan, ayam dan lain-lain makanan laut walaupun dibalut rapi sebelum dibuang namun baunya seakan-akan ada bangkai dikawasan rumah  ditambah lagi bagi keluarga yang mempunyai anak kecil dengan masalah kumpulan lampin pakai buang apabila lori sampah datang hanya seminggu sekali untuk memungutnya dan 'Cik Lalat' pun apa lagi seronok la ada kenduri sampah. 

Saya amat berharap selain masalah air yang perang warnanya (alhamdulillah catuan air telah berakhir) masalah sampah ini dapat diselesaikan segera oleh pihak yang berwajib. Tempat lain mungkin berbeza situasinya tetapi ini lah masalah yang saya hadapi. Kembalikan jadual pemungutan sampah seperti dahulu. Sering kali juga saya nampak longgokkan sampah ditepi jalan, pihak berwajib juga perlu memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah ini, mungkin boleh meletakkan satu tong sampah besar disitu agar sipembuang sampah lebih berdisiplin menempatkan kesemua sampah disatu tempat yang dikhaskan.

Kesihatan yang baik untuk keluarga bermula dari persekitaran rumah yang bersih. Masyarakat sihat menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara.

Wassallam.

Tuesday, 8 April 2014

Bila Air Dicatu

Assalamualaikum

Sebagai pengguna yang berada di zon 3 catuan air baru bermula pada hari Ahad lepas bersamaan 6 April 2014 apabila pihak Syabas memulakan catuan air di peringkat keempat. 

Ianya perlu memandangkan paras air di empangan masih lagi berkurangan walaupun kini kerap hujan namun bagi menampung keperluan air yang ada sekarang juga pada masa akan datang kerana Malaysia dijangka akan dilanda kemarau dari  bulan Julai ke Oktober.

Pasrah dan redha akan terpacul di bibir ini namun itulah kenyataan yang harus diterima, tak perlu dipertikai kenapa dan mengapa sebaliknya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal ketika menghadapi susana getir ini.  Perancangan teliti perlu ada untuk menampung keperluan air seisi keluarga selama 2 hari ketika bekalan air dihentikan.

Pastikan kita tahu jadual air berkala dikawasan kita.




Persediaan yang boleh kita  lakukan sebelum air dihentikan untuk 2 hari :- 
-basuh semua longgokan baju dan pinggan mangkuk yang ada 
-masak makanan lebih sedikit dan simpan dalam peti sejuk (hanya dipanaskan semula bila diperlukan)
-penuhkan air dalam tong bersaiz besar untuk semua bilik air
-penuhkan balang air minuman (samada yang telah dimasak atau disuling)
-isi botol-botol atau bekas yang sesuai untuk keperluan air minuman juga untuk memasak
-isi air dalam bekas untuk tujuan membasuh tangan dan lain-lain dan diletakkan disinki dapur 
Air tangki digunakan untuk mencuci muka, memberus gigi dan mengambil wudhuk.
**ini yang saya paraktikan ketika ini**



Untuk lebih mudah gunakan pinggan dan cawan pakai buang dan beli makanan dari kedai tetapi  harus berhati hati ketika membeli dan membuat pilihan kedai makan  kerana jika didalam kawasan yang sama sudah pasti kedai tersebut juga tiada punca air bersih melainkan telah disimpan terlebih dahulu. Pastikan kedai tersebut tiada keraguan dan bersih.

Anak-anak yang bersekolah pula selain dibekalkan air minuman perlu dibekalkan juga  untuk keperluan ke tandas  bimbang jika kehabisan air tangki  di sekolah.

Untuk kawasan yang masih belum dicatu penggunaan airnya diharap dapat menggunakan air secara berhemah. Marilah kita sama-sama berdoa agar krisis air dinegara kita ini dapat diatasi dengan kadar segera.

** untuk maklumat terkini boleh layari portal rasmi Syabas http://www.syabas.com.my

Wassallam.

Wednesday, 12 March 2014

Kehilangan Pesawat MAS MH370 (Boeing 777-200 KL Beijing)

Assalamualaikum

Taatkala ini sudah 5 hari  kehilangan pesawat MH370, apa sebenarnya yang berlaku hanya penumpang pesawat tersebut dan yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahuinya. Disini saya rasa Umum lebih mengetahui akan rentetan peristiwa juga usaha-usaha yang sedang dijalankan, oleh itu saya hanya menulis dari sudut pandangan peribadi saya sahaja tanpa melibatkan sebarang fakta.

Saya sebagai seorang manusia biasa hanya dapat merasakan kesedihan  yang dirasai oleh ahli keluarga yang terbabit namun hakikatnya perasan ahli keluarga itu sendiri  tidak akan sama dengan dengan apa yang saya rasai. Saya bukan pakar dalam apa-apa bidang dalam usaha mencari dan menyelamat ini hanya menyumbang melalui  titipan harapan berserta doa agar pesawat juga penumpang ditemui segera.

Pelbagai analisis juga pendapat yang saya baca dan lihat melalui media massa juga elektronik namun hanya kekeliruan yang saya perolehi kerana hampir setiap jam ada sahaja berita baru yang timbul bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh pihak berkuasa Malaysia. Propaganda juga berleluasa hingga ada kenyataan yang saya rasa boleh menyentuh perasan ahli keluarga yang terbabit, mungkin niat baik tapi cara penyampaian kurang sesuai begitu juga sebaliknya. Keperihatinan kita memang sangat diperlukan melalui doa yang membawa  kepada kebaikkan kerana apa yang diucapkan atau ditulis itu merupakan satu doa.

Gambar dari Google.

Ini bukan kejadian pertama di dunia, oleh itu irigan doa dari semua pihak amat perlukan.


Saya yakin bihak berkuasa sedang bertungkus lumus dalam usaha mencari dan menyelamat dan rasanya penambah baik perlu dilakukan agar usaha-usaha ini lebih berjaya. Saya amat berharap  usaha mencari dan menyelamat ini berakhir dengan kegembiraan.

'Ya Allah, kau makbulkan la semua doa-doa yang menginginkan pesawat MH370 ditemui bersama penumpang-penumpangnya dengan kadar segara' Amin.......

Wassalam







Wednesday, 5 February 2014

Persahabatan Bertaut Kembali Di Alam Maya (MGS Klang Gala Nite)

Assalamualaikum

Selepas menamatkan zaman persekolahan disekolah menengah masing-masing membawa haluan sendiri, ada yang melanjutkan pelajaran, bekerja, memulakan perniagaan dan ada juga yang mendirikan rumahtangga.

Pada  sekitar zaman 1990an tidak seperti kini yang mana terdedah dengan  kecanggihan bagi memudahkan  manusia berhubung tidak kira dimana pun kita berada. Pada awal tahun 2009 'Facebook' mula dikenali ramai hingga kini apatah  lagi sekarang pelbagai cara ada untuk berhubung antaranya melalui  'whatsapp, twitter, instagram' dan lain-lain. Setiap perkara ada kebaikkan dan keburukkannya namun jika dipandang disudut positif maka baik la ia begitu juga sebaliknya.

Antara kebaikkan disebalik  kecanggihan ini ramai yang dapat bertemu semula setelah lama terpisah seperti rancangan 'Jejak Kasih', demikian juga yang berlaku kepada bekas pelajar sekolah 'MGS' Klang 1990. ( Group Diva MGS Batch 1990). Alhamdulillah,  ramai yang memberi kerja sama dan bersemangat untuk menjalinkan semula persahabatan juga berterima kasih kepada yang mengambil langkah untuk menghidupkan semula jalinan kekitaan ini. ( Idaroyani: semoga usahamu diberkati) Banyak perkara yang tidak dijangkau oleh pemikirian telah berlaku didalam kehidupan rakan-rakan sekolah dahulu namun dengan adanya kecekalan dan sifat sabar  membuatkan rakan-rakan saya berjaya mengatasi rintangan yang melanda. Seronok rasanya apabila silatulrahim ini kembali bertaut insyaAllah ia akan berterusan hingga ke hujung nyawa.

Selama 11 tahun bersekolah  rendah dan menengah di MGS Klang membuatkan hati rasa sayu bila melihat kembali gambar sekolah ini, sungguh banyak  kenangan  disini. ( gambar dicedok dari group MGS Klang)






Lencana sekolah rendah dan menengah (ihsan dari Mazni & Salmiah)


Disini lah saya mula belajar mengenali abjad, nombor dan juga erti persahabatan, 'tempat jatuh lagi dikenang inikan pula rumah kedua selama 11 tahun'. Terima kasih juga kepada semua guru-guru yang telah mendidik saya dan ampun maaf dipinta jika ada perbuatan yang telah menyakitkan hati, terutama Pn.Khalidah cikgu Bahasa Malaysia 5s3.


Disini juga ingin saya menwar-warkan  sempena Majlis Makan Malam Amal serta sambutan 90 Tahun MGS Klang (Gala Nite) yang akan diadakan pada 12hb April 2014. Majlis bermula pada pukul 8 hingga 11 malam yakni bersamaan hari Sabtu bertempat di Dewan Sekolah Menengah Hin Hua Klang (bersebelahan La Salle Klang) bertemakan Ranggi 60an. Majlis ini bertujuan  mengumpul dana baik pulih sekolah terutama sekali untuk  Dewan Eklund dan bayaran sebanyak RM100 seorang diperlukan untuk mereka yang berminat bersama-sama memeriahkan lagi majlis ini. Ia terbuka kepada semua bekas pelajar sekolah MGS juga kepada umum. Jika ada yang ingin membuat sumbangan samada dari segi kewangan atau pengiklanan adalah amat dialu-alukan dan boleh menghubungi Pn.Salmiah melalui  sms dan whatsapp 010 3665395  atau diFB  Group Page https://www.facebook.com/groups/1453899158165459/ untuk keterangan lanjut. 

Wassallam.


Monday, 13 January 2014

Menjahit Baju Kurung Pertama

Assalamualaikum

Dahulu tidak  ada minat langsung hendak  belajar menjahit, tetapi sekarang apabila anak-anak mula membesar terasa ianya satu keperluan. Rasa tidak lengkap pula kalau tidak pandai menjahit,  setakat jahit seluar koyak atau pasang cangkuk dengan jahitan  tangan boleh saya lakukan walaupun tidak cantik jahitannya namun  menjahit dengan menggunakan  mesin jahit memang sesuatu yang amat asing bagi saya.

Permulaan kelas saya diajar cara mengukur badan yang lengkap menggunakan pita ukur kemudian melukis di kertas akan bentuk baju yang akan dipotong juga diajar cara pengiraan untuk mendapatkan ukuran 'pesak dan kekek' ( saya diajar bagaimana untuk menjahit baju kurung biasa). Rupa-rupanya nak menjahit baju kurung juga ada formula yang diperlukan. Setiap ukuran yang diambil perlu dilebihkan satu inchi (1') manakala untuk labuh baju dan labuh tangan perlu lebihkan satu setengah inchi (1 1/2') yang dipanggil 'basi'. Amat  kekok rasanya ingin mengunting kain untuk buat baju kurung untuk pertama kalinya sepanjang hayat saya namun dengan tunjuk ajar dari guru jahit saya berjaya lakukannya.



Selepas itu saya diajar pula cara mengendalikan mesin jahit (saya guna mesin jahit 'Singer' ) yang  mana saya  langsung tidak ada pengetahuan asas untuk menggunakan mesin jahit, untuk memasukkan benang ke dalam jarum juga mencantumkan benang dari 'sekoci' dengan benang dijarum berulang kali saya lakukan barulah menjadi. Pertama yang perlu dijahit ialah mencantumkan bahagian 'kekek' dengan 'pesak' kemudian cantumkan pula dengan lengan seterusnya bahagian badan. 

Agak susah bagi saya untuk menjahit dengan lurus namun kata guru yang mengajar  itu adalah normal untuk pelajar baru menjadikan saya agak lega. Siap menjahit semua cantuman itu perlu pula dilakukan jahit silang pangkah di pergelangan tangan, labuh baju dan leher. Baju kurung saya telah siap namun untuk kain belum lagi bermula insyaAllah akan saya kongsikan sedikit pengalaman menjahit kain dicoretan akan datang.

Wassallam.

Wednesday, 8 January 2014

Berblog Dan Bekerja Dari Rumah

Assalamualaikum

Alhamdulillah sudah hampir 6 bulan membabitkan diri dalam dunia blog, pada mulanya saya tidak yakin akan ada pembaca yang sudi melawat, membaca apatah lagi memberi kepercayaan untuk  berurusniaga dengan saya melalui alam maya.

Saya tahu kelemahan saya iaitu tidak hebat bermain kata-kata seperti kebanyakkan bloger yang lain namun saya masih teruskan dan pastikan setiap minggu sekurang-kurangnya ada dua atau 3 entri di blog. Tanpa disangka saya berjaya menjual barangan melalui blog dengan orang yang saya tidak kenali, ini bermakna blog saya mula diiktiraf oleh pembaca, kadang-kadang apabila kepenatan dengan rutin harian, hati jadi girang bila melihat trafik di blog meningkat setiap hari. (Jadi terapi minda untuk saya :). )

Berblog pada pandangan saya salah satu kaedah pengisian masa lapang yang penuh dengan informasi. Jika kita ingin menulis sesuatu sudah pasti perlu membuat sedikit penyelidikan tentang topik tersebut dan harus melakukan sedikit pembacaan kerana kita tidak mahu pembaca disajikan dengan kenyataan yang tidak benar. Tulisan berbentuk pengalaman pula sedikit sebanyak memberi informasi kepada pembaca akan situasi yang mungkin mereka akan alami untuk dijadikan panduan. Kemasukkan entri resepi masakan juga boleh membantu mereka yang kebuntuan samada memberi idea untuk memasak atau membantu mendapatkan resepi yang lebih mudah, ringkas dan sedap. Disamping mencari pendapatan sampingan saya  juga amat berharap ia menjadi salah satu dari amalan jariah saya kepada masyarakat.

Saya juga tidak mempunyai banyak masa kerana sibuk dengan pengurusan anak-anak kerana mereka berada paling atas  pada setiap senarai harian saya namun alhamdulillah saya mampu mencuri masa utk menulis walaupun tidak kerap dan berniaga 'online'. Disebabkan kekangan masa saya hanya membuat 'blog walking' seminggu sekali dan peruntukkan 2-3 jam sahaja untuk melihat teknik penulisan bloger lain juga mendapat banyak informasi yang berguna. Kumpulan dari Akedemi Bekerja Dirumah juga sangat-sangat membantu dalam memberi semangat dan pada pandangan saya mereka yang berada  didalam kumpulan ini  hebat-hebat kesemuanya.
Jika anda ingin menceburi alam blog atau ingin berniaga secara online secara sambilan dan mahukan ianya  dilakukan dengan cara yang betul  boleh menghubungi  saya melalui sms/whatsapp di  018218482  juga boleh pm di http://www.facebook.com/pages/Little-Pumpkin/1408832399336427?ref=hl&bookmark_t=page   atau terus bertanya dengan guru 'online' saya Pn. Zaila, untuk mengenali beliau dengan lebih dekat boleh clik disini  http://zailabinimdae.blogspot.com

Wassallam.

Wednesday, 1 January 2014

Tahun Baru 2014 dan Rutin Harian

Assalamualaikum

Alhamdulillah masih lagi bernafas untuk hari pertama tahun 2014 bersamaan dengan 19 safar 1435H. Segala percaturan masa harus dirancang dengan teliti bermula esok kerana bermulanya alam persekolahan.

Bagi yang berkerjaya sudah pasti rutin harian telah dirancang untuk anak- anak yang masih bersekolah. Surirumah seperti saya yang mempunyai 3 orang anak yang berlainan umur dan waktu persekolahan yang berbeza nyata akan lebih sibuk dari biasa namun demi anak-anak tersayang saya yakin boleh melakukan rutin harian dengan lancar. 

Amat berbeza ketika di United Kingdom, waktu persekolahan adalah sama untuk pelajar rendah dan menengah iaitu dari jam 8 pagi hingga 3 petang, tiada  sessi petang kecuali untuk kelas tambahan dan kokurikulum. Di sini anak yang diperingkat sekolah rendah ( bukan intergrasi) kebiasaannya akan pergi ke dua sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama. (Untuk tuntutan dunia dan akhirat)

Aturan masa harus bijak dilakukan agar anak-anak sempat bersarapan atau makan tengah hari dirumah sebelum kesekolah, setelah dihitung hampir 7 kali akan keluar masuk rumah untuk menguruskan 3 orang anak yang berlainan umur dan waktu persekolahan. Alhamdulillah saya berpeluang menguruskan sendiri urusan ini tanpa rasa risau dan ragu akan keselamatan, pengangkutan dan pemakanan anak-anak. Sememangnya sungguh besar tanggungjawab kita sebagai ibubapa bagi memastikan anak-anak mendapat pelajaran yang sewajarnya.

Namun begitu, tugas harian seperti membasuh baju, menyapu lantai, mop lantai, memasak dan lain-lain kerja rumah juga harus dilakukan boleh dikatakan masa sebagai seorang suri rumah adalah penuh dan itu belum lagi termasuk skop bekerja dari rumah yakni berniaga 'online'. Apa pun yang saya lakukan ianya adalah ikhlas 'from the bottom of my heart' dan  hargainya setiap detik dan saat kerana percaya Allah telah merancang yang terbaik untuk saya.



Saya yakin ramai  wanita di Malaysia mempunyai rutin harian seperti ini, semoga segala urusan kita ini diberkati dan dipermudahkan oleh Nya.

Wassallam.








Tuesday, 17 December 2013

Anak ke Alam Persekolahan (Darjah Satu)

Assalamualaikum

Tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun baru juga bermakna satu cabaran besar yang akan dilalui oleh anak-anak berumur 6 tahun.

Rasanya ramai anak-anak telah didedahkan dengan sistem pendidikan seawal umur 4 tahun lagi malah ada yang bermula dari umur tiga tahun, namun memasuki alam persekolahan yang sebenar jauh berbeza dengan apa yang mereka lalui ketika di tadika. Perasaan mereka bercampur baur seakan kita baru melangkah kealam pekerjaan dan mula bekerja pada hari pertama.

Ada juga yang mungkin akan menggunakan semula kelengkapan sekolah kakak atau abang mereka yang masih elok tetapi  kebiaasaannya  ibu bapa akan membeli juga beberapa kelengkapan yang baru sebagai pendorong dan  semangat untuk anak-anak ini memulakan langkah pertama dalam kehidupan mereka yang masih panjang.



Antara perkara yang perlu dilakukan sebelum bermula alam persekolahan :-
-pastikan anak telah didaftar terlebih dahulu ( boleh mula mendaftar seawal umur 5 tahun : pergi kesekolah yang diingini dan dapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran juga boleh dilakukan melalui 'online' )
-ibu bapa/penjaga akan diberitahu akan penerimaan anak kesekolah yang berkenaan melalui pos dan perlu membawa surat beranak asal ke sekolah tersebut untuk disahkan penerimaannya.
-tarikh untuk mengambil senarai buku tulis juga akan diberitahu oleh pihak sekolah
-perlu menghadiri sessi suai kenal yang kebiasaannya  diadakan seminggu sebelum sekolah dibuka.
-perlu menyediakan baju sekolah yang lengkap, baju sukan,  alat tulis, beg sekolah, botol air  dan lain-lain yang berkaitan

Bila ditanya kepada anak saya apakah perasaannya yang  akan memulakan alam persekolah tidak lama lagi, dia dengan senyum simpul berkata ada perasaan takut, gementar dan malu. Pelbagai persoalan yang ditanya seperti keadaan kelas, cikgu baik atau tidak, bagaimana jika hendak ke tandas,  apa yang harus dilakukan bila masuk kelas,  kawan-kawan, macam mana dengan makanan dan minuman  walaupun dia telah melalui alam tadika juga persekolahan semasa di United Kingdom. Namun setelah semua kelengkapan sekolah dibeli terpancar kegembiraan diwajahnya dan semangat berkobar-kobar untuk kesekolah juga jelas kelihatan.

Diharap tiada sebarang masalah untuk semua anak-anak yang bakal melalui alam persekolahan yang sebenar tidak lama lagi. Sama-sama kita doakan agar anak-anak ini menjadi orang yang berguna juga berjaya dalam tuntutan hidup di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

Wasallam





Monday, 9 December 2013

Pesta Buku - Big Bad Wolf 2013

Assalamualikum

Pesta buku yang sungguh menarik sedang berlangsung di 'The Mines', memandangkan sekarang  musim cuti sekolah maka  kesesakkan sememangnya harus dijangka. Kenderaan juga banyak jadi harus bersabar ketika mencari tempat pakir kereta.



Suasana seakan pasar malam tetapi  lambakan makanan digantikan dengan buku-buku, segala jenis kategori buku  ada dijual. Buku masakan, motivasi, majalah, novel, menguji minda, komik,  agama dan lain-lain. Untuk novel dan buku cerita kanak-kanak ada dijual dalam Bahasa Melayu juga Bahasa Inggeris dan harga yang ditawarkan sangat- sangat berpatutan. Buku cerita Inggeris kebanyakkan di ambil dari negara United Kingdom juga Amerika dan purata dijual dari harga RM3.00 dan ke atas. Terasa seperti berada di 'The Works' salah satu kedai buku di UK.




Buku yang dijual RM1.00 juga hebat kualitinya bak kata pepatah kalah membeli menang memakai tetapi dalam situasi ini saya rasa menang  membeli dan menang memakai. 


Bila dewan penuh dengan buku-buku dengan  pelbagai kategori tentunya akan mengambil masa yang agak lama untuk memilih buku yang sesuai, ternyata situasi ini kurang disenangi oleh kanak-kanak yang cepat merasa bosan. Jika anda mengalami keadaan sebegini boleh la membawa anak ketingkat atas didalam dewan yang sama kerana  ada disediakan tempat permainan kanak-kanak berbayar  juga terdapat banyak gerai makanan juga minuman. Salah satunya Pizza Domino yang menawarkan harga RM7.00 satu kotak untuk pizza yang kecil dan RM10.00 jika anda membeli 2 kotak.


Ada 7 hari lagi sebelum  pesta terbesar jualan buku ini tamat, jika ada masa saya sarankan bawalah anak-anak kesana. Pelbagai jenis buku untuk semua peringkat umur ada dijual, tanamkan sifat suka membaca kerana ia jambatan ilmu.

Wasallam.



Sunday, 1 December 2013

Tudung oh Tudung

Assalamualaikum

Kali ini nak bercerita akan betapa taksubnya sesetengah manusia akan sesuatu jenama. Kalau jenama 'Apple' mengeluarkan  produk terbaru kita boleh melihat  orang ramai akan beratur menunggu kedai dibuka pada keesokkan harinya. Ada yang sanggup tidur didepan kedai malah sanggup mengharungi cuaca sejuk jika di luar negara.

Tak sangka fenomena begini juga berlaku dinegara kita, pada mulanya saya kurang percaya apabila ada rakan bercerita ada segelintir kaum hawa yang fanatik dengan satu jenama tudung, al-maklumlah baru beberapa bulan pulang ke Malaysia setelah hampir 4 tahun berada di United Kingdom dan saya juga kurang tahu akan jenama tersebut. Memandangkan kedainya berdekatan dengan  kawasan kediaman saya maka ia ternyata benar kerana saya sendiri melihat perkampungan sementara yang diadakan oleh bakal pembeli. Mereka datang dari merata kawasan dan nyata ramai bukan dari kawasan setempat, ada yang membawa anak kecil tidur di dalam kawasan khemah, dalam kenderaan juga dikaki lima kedai. Ada juga  para suami turut serta menemani isteri masing-masing.

Alhamdulillah perniagaan  tersebut berjaya menguasi pasaran tudung di Malaysia namun pada pendapat saya ia kurang sesuai dibuka berhampiran kawasan  kediaman. Tiada pertikaian akan jenama tudung tersebut kerana apa pun jenama yang dipilih terpulang kepada  individu kerana saya rasa pengetahuan cara menutup aurat dengan betul telah diketahui umum. Kekerapan jualan yang dikatakan murah ( saya tidak pasti harga sebenar kerana belum lagi menjejakkan kaki ke kedai tersebut) sering menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penduduk setempat dengan kesesakkan yang berlaku. Diharap masalah sebegini dapat diselesaikan oleh pihak pengurusan untuk jualan murah yang seterusnya.

Bagi mereka yang berminat dengan tudung labuh keluaran Modern Hijab Exclusive bolehlah rujuk di sebelah kanan blog ini di bawah label tudung. InsyaAllah akan diusahakan sampai ketangan anda tanpa perlu keluar dari rumah.




Wasallam



Tuesday, 26 November 2013

Cuti Sekolah

Assalamualaikum

Masa yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar sekolah rendah dan menengah sudah tiba iaitu cuti sekolah paling panjang dalam tempoh setahun. 

Bagi ibu bapa atau penjaga yang tidak bekerja dan yang bekerja sendiri sememangnya tiada masalah untuk menguruskan anak-anak yang berada dirumah sepanjang cuti persekolahan ini cuma perlu ada aktiviti yang dijalankan agar anak-anak tidak kebosanan. Mereka yang bekerja pula awal-awal lagi sudah mengatur jadual untuk anak- anak ke taska namun anak yang telah meningkat remaja boleh duduk dirumah sahaja.

Alhamdulillah jawatan 'home manager' membuatkan saya sentiasa berada  dirumah bersama anak-anak tetapi ia tidak semudah yang dijangkakan. Anak-anak saya  cepat berasa lapar bila  melakukan aktiviti walaupun  yang tidak memerlukan tenaga fizikal yang banyak, makanan  sentiasa perlu ada disamping sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Waktu beginilah jika  masak apa sahaja pun habis, masa ini jugalah eksperimen membuat kuih dan memasak dengan anak-anak. Selain itu harus juga menelaah  pelajaran untuk tahun hadapan kerana buku teks telah pun diberikan oleh pihak sekolah. Masa seolah olah cemburu dengan kami kerana tanpa disedari matahari sudah mula melabuhkan tirainya terasa sungguh pantas hari demi hari berlalu.

Tempias keseronokkan  cuti sekolah dirasai oleh saya disamping dapat pergi bercuti sekeluarga. Disini saya kepilkan kalendar 2014 untuk dijadikan rujukan bersama. (Jika tiada apa-apa pindaan yang dilakukan)


Semoga setiap kali cuti sekolah terutama  dihujung tahun  dapat dimanfaatkan  bersama anak-anak.

Wasallam.

Tuesday, 19 November 2013

Cerita Seram

Assalamualaikum

Fenomena cerita seram semakin menjadi-jadi sekarang ini bukan sahaja di pawagam, majalah,  dikaca televisyen malah juga dimuka buku. Ia ditambah lagi dengan filem seram dari luar negara.

Penerbit filem pula semakin galak untuk menghasilkan cerita-cerita seram dan rentetan itu stesyen televisyen juga berlumba-lumba menghasilkan drama dan realiti bergenre seram. Dalam seminggu ada sahaja saluran televisyen yang menyiarkan cerita seram, ia mungkin sekadar hiburan bagi sesetengah individu tetapi tidak semua beranggapan  begitu terutama para remaja.  



Antara berita yang menjadi perbualan hangat.


Baru-baru ini masyarakat kita dikejutkan dengan kehilangan seorang remaja yang dikaitkan dengan sebuah villa yang dikatakan penuh dengan misteri dan akhirnya beliau ditemui di tempat lain. Yang menjadi persoalannya nya ada sekumpulan remaja yang pergi ke villa tersebut untuk apa?. Secara tidak langsung pengaruh filem dan drama seram mudah mempengaruhi jiwa remaja yang sentiasa inginkan sesuatu yang mencabar. Begitu juga dengan sebuah filem seram yang ditayangkan dipawagam baru-baru ini digemparkan  dengan penonton diserang histeria. Jika kesemua cerita itu membawa kebaikkan kepada penonton rasanya tidak salah ia diteruskan tetapi secara amnya ia membawa banyak keburukkan dari kebaikkan.

Saya berpendapat pihak yang bertanggung jawab harus mengawal pengeluaran cerita-cerita sedemikian kerana ia boleh mempengaruhi   minda manusia malah boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan ajaran agama Islam kepada mereka yang kurang berpengetahuan mengenai alam mistik  walaupun tidak dinafikan akan kewujudan makhluk halus. Disini, Ibu bapa memainkan peranan penting dengan  memantau apa yang ditonton oleh anak- anak jika ianya tidak bersesuaian haruslah diterangkan kepada mereka kenapa dan mengapa kerana anak-anak yang tidak faham akan keadaan sebenar akan mencari jalan lain untuk menontonnya.

'Melentur buluh biarlah dari rebung' seelok-eloknya anak-anak kita disajikan dengan cerita-cerita yang lebih baik yakni yang boleh merangsang fikiran mereka ke arah kebaikan, saya percaya semua mahukan yang terbaik untuk anak- anak kita. 

Wasallam.


Friday, 15 November 2013

Rebus Telur

Assalamualaikum

Telur sememangnya mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri rasanya ramai yang sudah tahu dan diantaranya ialah  putih telur boleh dijadikan masker untuk  kulit muka. Selain  dijadikan bahan untuk membuat kuih, ia   juga sedap dimakan setelah digoreng atau direbus namun apa  sahaja yang kita makan jika  tidak  dikawal kuantitinya boleh memudaratkan kesihatan. 

Telur yang dibeli haruslah  di basuh terlebih dahulu sebelum digunakan untuk apa jua masakan bagi memastikan ianya bersih dari kuman Salmonella. Ada pelbagai  cara untuk merebus telur tetapi  cara mana yang boleh menghasilkan telur rebus yang cantik dan mudah untuk dikupas kulitnyaAda petua mengatakan cuba  letakkan sedikit garam dalam air rebusan telur, cara ini  telah saya cuba  beberapa kali dan hasilnya tidak mengecewakan cuma telur yang saya rebus akan retak kulitnya mungkin terlalu lama direbus atau api masak terlalu kuat saya tidak pasti. Ada juga rakan yang merebus telur sekali gus ketika masak nasi didalam periuk nasi.


Oleh kerana tidak pasti telur yang direbus itu sudah masak atau belum saya gunakan alat ini yang mana ia diletakkan serentak dengan telur dalam air rebusan, ia akan bertukar warna dari warna merah ke warna  putih ikut gelangan dari separuh masak hingga ke masak keras. 

Setelah menggunakan perebus telur elektrik (egg boiler) saya sungguh berpuas hati, telur masak dalam masa yang singkat dan kulit telur sangat mudah ditanggalkan tanpa mencacatkan bentuk fizikalnya.



Ia juga boleh digunakan untuk telur separuh masak, saya syorkan kepada mereka yang  mempunyai masalah  seperti saya yang tidak dapat kualiti telur rebus yang baik dengan menggunakan cara konvensional bolehlah cuba guna perebus telur elektrik.

Wasallam






Thursday, 14 November 2013

Hujan

Assalamualaikum 

Bila hampir ke penghujung tahun ini mula la dengar kisah banjir disana sini. Dikawasan tempat tinggal saya pun mengalami banjir kilat jika hujan turun dengan lebat, tapi Alhamdulillah hanya beberapa jam sahaja air akan surut kembali.

Berbeza dengan hujan di Sheffield, disana hujan tak selebat di Malaysia juga hanya sesekali sahaja kedengaran  bunyi guruh dan petir tetapi angin bertiup kencang. Payung juga jarang digunakan hanya pakai jaket kalis air. Walaupun begitu berlaku juga banjir kilat jika hujan turun berterusan.

Teringat masa zaman kecil-kecil dahulu bila  hujan mula turun rasa seronok sangat sebab nak main air hujan, waktu tu tak fikir pun tentang bahaya  kilat, demam dan campuran air longkang. Pada masa itu  tidak pula demam  kalau bermain hujan,  keseronokkan  bermain hujan ini dimeriahkan lagi dengan adik beradik ditambah pula dengan kehadiran  jiran yang umurnya  hampir sebaya, siap main lumba lari dalam air yang naik cuma paras buku lali je pun. 

Mengumpul berudu juga seronok yang konon-kononnya anak ikan, bila hujan turun mula la sibuk cari  botol  kosong untuk mengisi berudu. Jika air naik keparas lutut kelam kabut cari kertas surat khabar nak buat kapal kertas, bila dah siap kena tunggu hujan reda sedikit baru layarkan atas air kalau tak nanti karam kapal kertas kena hujan lebat. 



Semua itu telah berlalu, tetapi saya tidak  berani sepertimana kedua orang tua saya untuk membenarkan anak-anak bermain hujan di perkarangan rumah kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan mereka. 

Dikawasan yang sering dilanda banjir diharap anak-anak sentiasa diawasi untuk mengelakkan dari sebarang kejadian yang tidak diingini, semoga tiada kes banjir yang kritikal pada tahun ini.

Wasallam.


Tuesday, 12 November 2013

Jenayah di Malaysia

Assalamualaikum

Kejadian jenayah kebelakangan ini semakin menjadi-jadi, selepas hampir 4 tahun meninggalkan  Malaysia kami sekeluarga agak terkejut dengan keadaan jenayah yang berleluasa  sekarang.

Jenayah kecil juga besar seakan-akan satu lumrah dalam kehidupan seharian kita. Kes tembak menembak adalah realiti yang berlaku dinegara kita yang dahulu hanya di lihat dikaca televisyen didalam cerita aksi ataupun berita keganasan diluar negara. Kita mendapat maklumat jenayah  besar melalui  media cetak dan elektronik namun jenayah kecil seperti ragut, pecah rumah dan lain-lain yang tidak dilaporkan juga semakin kerap didengar.

Setiap kali hendak keluar dari rumah  hati ini sentiasa ada rasa kebimbangan bila teringat  kisah anak diculik, orang ragut beg tangan, pecah cermin kereta ketika berhenti di lampu isyarat, samun ketika berada dikawasan rumah sendiri, kehilangan kasut di perkarangan rumah, perlanggaran yang disengajakan dengan tujuan merompak dan banyak lagi yang bermain difikiran. 

Secara jujurnya tidak ada perasaan sebegini ketika saya berada di Sheffield United Kingdom  bukan kerana tiada kes jenayah disana cuma peratusnya tidak setinggi di Malaysia. Amat jarang berlaku kes ragut malah kita boleh lihat makcik-makcik tua yang menaiki bas awam hanya meletakkan beg tangan mereka didalam bakul juga selamat. Sepanjang berada disana juga tidak ada kes pecah cermin kereta ketika berhenti di lampu isyarat, mungkin tidak banyak penunggang motorsikal dan dikebanyakkan  lampu isyarat mempunyai kamera (cctv). Rumah kediamanan disana tidak ada pendakap atau palang besi untuk pintu dan tingkap seperti rumah kita disini. Jika kita tertinggal telefon bimbit atau barang ditempat makan atau mana-mana lokasi kebiasaanya ia masih lagi ada disitu walaupun lebih sejam ditinggalkan ataupun akan disimpakan oleh pekerja kedai.

Berikut dipetik dari portal rasmi Polis Diraja Malaysia 


Alhamdulillah kadar  jenayah ada sedikit penurunan, mari kita lihat sebahagian dari  langkah berjaga-jaga yang boleh diamalkan supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku :-

-pastikan kereta yang dipandu sentiasa dalam keadaan berkunci
-beg tangan atau apa-apa barang yang berharga disorokkan dari pandangan (letak bawah tempat duduk kereta) dan bawa bersama ketika keluar dari kereta
-jangan biarkan anak dalam kereta ketika kita hendak membeli barang walaupun sekejap
-pastikan  enjin kereta dimatikan dan pegang kunci kereta jika ingin menutup pagar rumah
-elakan berhenti dihentian yang sunyi
-pastikan rumah kita sentiasa berkunci dan jangan layan sebarang juru jual
-jika paip air diluar rumah terbuka hingga maksimum pada waktu malam jangan keluar sebaik-baiknya telefon polis
-jangan tinggalkan kasut yang cantik di luar rumah
-elakakn memakai barang kemas yang keterlaluan
-beritahu jiran jika kita ingin bercuti atau pulang kekampung 
-pastikan nombor pihak berkuasa disimpan didalam telefon bimbit dan ditampal berdekatan dengan telefon rumah 

Adakah kerana desakan hidup dalam keadaan ekonomi sekarang merubah perangai  dan hilang timbangrasa sesama manusia?. Saya percaya pihak berkuasa sedang berusaha mengawal keselamatan dan keamanan negara namun kita sendiri harus berperanan dalam mengatasi masalah ini.

Kita hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya, oleh itu berdoalah agar kita dan negara Malaysia senantiasa berada didalam lindunganNya insyaAllah.

Wasallam