Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Thursday, 4 February 2016

Resepi Kek Pisang Gebu

Assalamualaikum 

Kek pisang sangat sesuai dijadikan hidangan minum petang, pertama kali mencuba resepi ini terus menjadi. Tak sampai 2 hari kek pisang habis dimakan, biasanya kalau kek yang lain kadang-kadang hampir seminggu baru habis. 

Jom tengok bahan-bahan dan cara membuat kek pisang gebu

Bahan- bahan yang diperlukan
-7 biji pisang dilenyek ( saya guna pisang berangan)
-1 atau 2  pisang untuk hirisan hiasan
- 4 biji telur grade A ( kalau telur kecik lebih kan sebiji lagi)
-1 cawan gula (saya kurang kan sedikit)
-2 cawan tepung gandum
-1 sudu teh baking powder
-1 sudu teh bikarbonat
-secubit garam
- 1 sudu teh esen pisang atau esen vanila
-1 sudu teh ovellate ( tak letak pun tak apa)
- 3/4 cawan minyak masak 

** gunakan cawan yang sama untuk sukatan tepung, gula dan minyak masak




Cara- caranya :-
- oven dipanaskan pada suhu 170C selama 15 minit  dahulu sebelum adunan di masukkan 
- campurkan tepung gandum dan baking powder gaul sebati dan ayakkan
- campur garam, esen vanila dan soda bikarbonat ke dalam pisang yang telah dilenyek dan gaul sebati
- pukul telur dan gula hingga kembang (masukkan ovellate jika ada)
- tuang minyak dan pukul lagi
- tuangkan adunan pisang dan gaul secara kaup balik
 -masukkan tepung juga gaul secara kaup balik

** pisang yg sebiji tadi hiris dan susunkan didalam adunan yang telah dituang kedalam loyang pembakar.  (griskan loyang... Saya guna bekas silikon)



Bakar pada suhu 170C selama 45 minit atau sehingga kek masak 


           
     

Kalau tak cuba tak akan tahu kesedapan kek pisang air tangan sendiri.. :)

Selamat mencuba!

#tudungcantikmurah
#seluarbatikmurah
Whatsapp 0182184821




Monday, 6 April 2015

Resepi Asam Pedas Sedap

Assalamualaikum

Asam Pedas merupakan   lauk kegemaran kami anak beranak, kalau makan asam pedas sebagai   lauk harian pun boleh. Telur dadar atau mata kerbau ditambah dengan sayur goreng juga Ikan masin menjadi pelengkap untuk alasan makan bertambah nasi. Saya juga suka  makan dengan sambal belacan memang 'power ranger' rasanya.

Siapa penggemar asam pedas  boleh lah mencuba resepi asam pedas versi saya ini. Jom lihat resepinya

Bahan-Bahan
-Ikan ( jenis apa pun boleh)
-2 labu bawang sederhana besar ( saya guna bawang Holland)- di kisar
-7 ulas bawang putih- dikisar
-sebatang serai diketuk
-3 helai daun limau purut
-7 sudu besar cili kisar (cili boh)
-1 sudu kecil serbuk kunyit
-1 sudu kecil serbuk Kari
-1/2 sudu besar pes asam jaws
-garam





Cara-cara Memasak
-Tumis bawang besar dan bawang putih dengan minyak masak hingga keperangan
-masukkan cili boh dan masak hingga cili garing
-masukkan serai, daun limau purut, serbuk kunyit dan  serbuk kari


-kacau bahan tadi hingga sebati sehingga terbit minyak
-masukkan 7 cawan air dan pes asam jawa lalu dikacau sebati (masukkan air dahulu kemudian masukkan pes asam jawa)
-setelah mendidih masukkan Ikan dan kecil kan api dapur 
-masukkan garam secukup rasa
-boleh diangkat selepas Ikan masak.

Asam pedas Ikan Jenahak


Asam pedas Ikan Pari dengan bunga kantan daun kesum (daun kesum tak kelihatan :) )


** masukkan bunga kantan daun kesum (jika Ada)  bersama serai, daun limau purut serta serbuk kunyit dan serbuk kari 
** boleh juga ditambah sayur bende jika suka (masukkan sekali dengan Ikan)

Selamat mencuba

Wassalam












Friday, 6 March 2015

Resepi Sup Tomato

Assalamualaikum

Sup tomato ini ada penggemar nya yang tersendiri tetapi  ramai juga yang tidak minat kerana rasanya yang lemak masam. Dapat tomato segar dari jiran sebelah rumah, biasanya saya makan sup tomato  di hotel sahaja memandangkan buah tomato yang diberi ini banyak rasanya kalau nak buat ulam lambat pulak nak habis.

Setelah puas melihat resepi yang ada maka terjadilah sup tomato versi saya. Jom lihat bahan-bahan dan cara membuatnya.

Bahan-Bahan
-4 biji tomato masak dibelah 4
-1 -2 batang karot dikerat sederhana besar 
-1 labu bawang besar dipotong dadu (saya guna bawang holland)
-4 ulas bawang putih dicincang halus
-2 kiub ayam
-1 sudu kecil garam
-1 sudu kecil gula
-4 cawan air

                


Cara-cara memasak
-tumis bawang besar dan bawang putih dengan sedikit minyak sehingga bawang keperangan
-masukkan tomato dan karot masak hingga lembut 


                 

- kisar bahan-bahan masak tadi hingga halus
-masukkan kembali kedalam periuk dan tambah air ( jika suka cair tambah sukatan air)
-masukkan kiub ayam, garam dan gula (  garam dan gula ikut citarasa masing-masing)
-masak hingga mendidih

  

Setelah mendidih boleh la diletakkan daun ketumbar atau daun sup sebagai hiasan. Ia boleh dihirup begitu saja atau juga makan dengan roti bakar atau 'garlic bread'. 

     

Selamat mencuba.

Wassalam.






Wednesday, 12 November 2014

Ikan Bilis Goreng Tauchu Kucai

Assalamualaikum

Kali ini resepi mudah, jika sesekali ingin makan nasi tanpa  kuah boleh cuba resepi ini. 



Bahan-bahan
-2 gengam ikan bilis yang telah dikopek dan digoreng rangup
-3 Ulas bawang putih (diracik halus)
-1 Labu bawang besar( suku di racik halus selebihnya di hiris sederhana)
-1cm halia (diracik halus)
-3 sudu  besar Tauchu (saya guna jenama tamin)
-secubit kiub ayam
-sedikit daun kucai yang dipotong 2cm panjang
-5 biji cili merah dan 5 biji cili padi di hiris ( kalau nak pedas tambah cili padi)

Cara-cara
-tumis bawang merah, bawang putih dan halia yg diracik halus hingga kekuningan
-masukkan tauchu serta secubit dari kiub ayam dan digaul rata
-masukkan bawang merah yang dihiris gaul hingga bawang masak
- masukkan cili yang telah dihiris dan kacau hingga cili masak
-masukkan daun kucai kacau sebentar dan tutup api dapur 
-masukkan ikan bilis goreng lalu di gaul sebati

Sangat sedap dimakan bersama nasi panas.
Selamat mencuba


Tuesday, 30 September 2014

Himpunan resepi Sambal Belacan

Assalamualaikum

Bila sebut saja sambal belacan dah rasa terliur mulut ini dan terbayangkan nasi panas, ulam-ulaman dan ikan kering sepat.



Kadang-kadang memang payah nak dapatkan rasa sambal belacan yang sesuai dengan tekak seseorang,  ini lah yang selalu membuatkan saya dalam dilema setiap kali bila hendak membuat sambal belacan. Oleh itu, dengan bantuan rakan-rakan saya kumpulkan beberapa resepi dan diolah sedikit,  ia boleh dicuba mengikut kesesuaian tekak masing-masing. Saya gunakan pelbagai jenis belacan dalam mencuba resepi-resepi dibawah dan Alhamdulillah semuanya sedap.


Resepi 1 ( resepi asal dari Mak Mertua -Pn Sakura)

Bahan-bahan
-6 biji cili merah dibuang bijinya
-15 biji cili padi
-belacan sebesar ibu jari
-2 biji bawang putih
-1 sudu kecil gula dan secubit garam
-jus limau kasturi secukupnya

Cara Membuatnya
- masukkan kesemua bahan kecuali jus limau didalam kuali dengan 1sudu minyak masak
(Hati-hati dengan letupan kecil)
-gorengkan sehingga bawang putih keperangan
- keluarkan dan masukkan ke dalam lesung tumbuk dan masukkan gula dan garam
-tumbuk  hingga lumat dan perahkan jus limau kasturi 


Bila buat banyak bolehlah simpan didalam peti ais ianya tahan lama ( yang ini saya goreng bahan-bahannya menggunakan minyak ikan goreng sebab tu berwarna kekuningan sedikit)





Resepi 2 (resepi asal dari Anis)
Bahan-bahan
-belacan sebesar ibu jari dibakar terlebih dahulu
-cili merah 3 biji dibuang biji
-cili padi 10 biji
-2 sudu kecil gula
-secubit garam
-air asam jawa pekat atau jus limau kasturi


Cara Membuatnya
Tumbuk semua bahan dan masukkan perahan air asam jawa atau jus limau kasturi secukup rasa





Resepi 3 (resepi asal dan gambar dari Mazni)

Bahan-Bahan
-Cili padi 10 biji
-Cili merah 5 biji
-belacan 3cm
-2 biji limau kasturi

Cara Membuatnya
-cili padi dan belacan distimkan
-satukan kesemua bahan-bahan tadi dan ditumbuk 
-dah agak lumat perah kan limau kasturi yang telah dibuang biji 
-masukkan sekali limau kasturi tersebut (tenyeh2 disambal) dan gaul sebati 



Resepi 4 ( resepi asal dari Suzana)

Bahan-Bahan
-Cili merah 8 biji
-Cili padi 10 biji
-Garam kasar secukup rasa
-Belacan bakar 2 inci
-Perahan sebiji limau nipis atau air asam jawa
-Sedikit sebuk perasa

Cara membuatnya
-satukan kesemua bahan kecuali perahan limau nipis dan ditumbuk hingga lumat
-kemudian masukkan perahan limau nipis atau air asam jawa

Resepi 5 (resepi asal dari Marhanim)

Bahan-bahan
-7 biji cili merah
-7 biji cili padi
-2cm belacan
-separuh dari bawang yang sederhana besar
-jus limau secukup rasa
- sedikit garam dan gula

Cara-cara membuatnya
-satukan kesemua bahan dan kisar gunakan 'blender'
-boleh tambahkan lagi garam, gula dan jus limau mengikut selera masing-masing




Resepi 6 -sambal belacan tok2 versi saya (baru)

Bahan- bahan 
-7 biji cili merah
-segenggam cili padi
-segenggam ikan bilis
-2 sudu teh jus limau
-1 inci belacan
- 3 ulas bawang bawang putih saiz sederhana
-secubit garam
-sedikit gula

                        

Cara-cara
-goreng ikan bilis hingga garing dengan sedikit minyak masak
-goreng cili merah, cili padi, belacan, dan bawang  putih (gunakan minyak goreng ikan bilis tadi)

                       
     

- kemudian tumbuk kesemua bahan yang telah digoreng tadi masukkan gula dan garam
-masukkan 2 sudu teh jus limau dan gaul sebati


                     

Jika ada yang alergik dengan belacan, sambal ini boleh dibuat tanpa belacan
   
********************************************

Diharap dengan beberapa jenis resepi sambal belacan ini dapat memberi kelainan citarasa dan membantu sesiapa yang kurang mahir membuat sambal belacan.

InsyaAllah jika ada resepi sambal belacan baru akan di 'update' dari masa ke semasa.

Selamat mencuba ...   :)

Wassalam

#lprafeah
#seluarbatikmurah
#tudungcantikmurah













Friday, 8 August 2014

Tempe Goreng Bercili

Assalammualaikum

Alhamdulillah selesai menjalani ibadah berpuasa dan sekarang masa untuk menziarahi sanak saudara dan sahabat taulan. Semoga Aidilfitri kali ini membawa keberkatan untuk kita semua.

Lama sungguh rasanya tak update 'resepi' sebab sibuk dengan jualan raya ... 
Kali ini saya dapat resepi dari biras di kampung, pada raya pertama tekak ini tak berselera nak makan beria-ia lauk pauk raya hingga la pada malam itu berkunjung ke rumah biras Misleha.. Dihidangkan lauk ini berserta ikan masin makan dengan nasi panas terus teruja nak makan.

Bahan2 nya
-2 labu bawang besar dihiris (saya guna bawang holand)
-7 ulas bawang putih dicincang halus
-1/2 inci halia dicincang halus
-ikan bilis ( kalau suka boleh letak banyak2-ambil sedikit dan ditumbuk lumat manakala yang lain di goreng garing)
-tempe di goreng separuh masak ( saya guna 2 paket dan letak sedikit kunyit-goreng begitu saja pun boleh)
-cili padi dan cili merah dihiris ( ikut selera masing2 jika suka pedas lebihkan cili padi)
-asam keping (1 sahaja)
-sedikit air
-sedikit minyak masak



Cara2 nya
-tumiskan bawang yang telah dihiris hingga masak dan masukkan ikan bilis tumbuk
-masukkan bawang putih halia dan hirisan cili hingga semua bahan layu
-letakkan asam keping dan sedikit air juga secubit garam
-masukkan tempe hingga tempe masak
-akhir sekali masukkan ikan bilis tutup api masak dan kacau sebati

Ini la hasilnya


Sedap makan bersama nasi putih panas-panas, jika  kebuntuan menu untuk memasak boleh la cuba resepi ini. Selamat mencuba..

Wassalam

Tuesday, 4 March 2014

Sambal Belimbing Buluh

Assalamualaikum

Belimbing buluh kalau dimakan begitu sahaja dan dicicah dengan garam memang sedap bagi penggemar buah masam tetapi jika dijadikan sambal berganda-ganda lagi lagi kesedapannya.

Gambar dari google

Selain dijadikan halwa juga jeruk memang ternyata sedap dijadikan lauk, kalau biasa dengan masakan masak lemak, masak asam dan sambal belacan apa kata untuk mencuba resepi sambal ini pula. Resepi asal diberi oleh seorang rakan (Mazni) tetapi saya olah sedikit seperti berikut :-

Bahan-bahan 
-belimbing buluh  20 biji dibelah tengah dan belah lagi jadikan 4 lalu dibuang bijinya (separuh dijadikan bahan tumbuk)
-2 biji cili merah dibuang biji
--20 biji cili padi
- bawang besar ( kerat dua, separuh dijadikan bahan tumbuh dan lagi separuh di hiris)
-2 ulas bawang putih
-sedikit  belacan
-segenggam  ikan bilis ( suku dijadikan bahan tumbuk dan selebihnya digoreng)
-garam dan gula

Cara-cara membuatnya
-campurkan belimbing buluh, cili merah, cili padi, belacan, bawang putih, bawang merah dan sedikit ikan bilis 
-tumbuk kesemua bahan-bahan yang dicampurkan tadi
-tumiskan bahan yang telah ditumbuk dengan sedikit minyak didalam kuali
-gorengkan hingga naik bau
-masukkan bawang  hiris dan kacau hingga bawang masak
-masukkan sedikit garam dan gula mengikut cita rasa masing-masing
-masukkan belimbing yang telah dipotong kacau sekejap ( jgn masak terlalu lama untuk memastikan kerangupan belimbing tidak hilang)
-tutup api memasak dan masukkan ikan bilis goreng lalu dikacau sebati


Sangat sedap dimakan dengan nasi putih yang masih lagi panas, (makan dengan nasi planta pun sedap juga)  buah belimbing rangup dan tidak masam setelah dimasak.

Selamat mencuba.

Wassallam.





Thursday, 30 January 2014

Resepi Apam Beras

Assalamualaikum

Ada lebihan nasi yang tak habis, tak kan asyik jadi  Nasi Goreng aje!  boleh dijadikan kuih selain nasi goreng. Apam beras ini amat mudah dan pertama kali mencuba resepi ini terus menjadi. 
Ia boleh diletakkan dalam acuan kecil dan pelbagaikan warnanya tapi saya buat satu warna sahaja.


Bahan-bahan yang diperlukan dan cara membuatnya seperti berikut :-

Bahan-bahan
-3 cawan tepung beras (360g)
-1 cawan tepung gandum (120g)
-2 cawan gula pasir (400g)
-1 paket mauripan (11g)
-2 cawan nasi 
-3 cawan air (700ml)
-pewarna yang digemari
-kelapa parut secukupnya digaul dengan sedikit garam

Cara-cara
-satukan nasi dan air didalam 'blender' lalu dikisar hingga betul-betul hancur.
-satukan semua bahan lain dan gaul sebati didalam mangkuk.
-kemudian tuang kisaran nasi dalam adunan tadi dan gaul sebati kesemua bahan.
-Perap adunan selama 1 jam atau lebih.
-Selepas 1 jam,tuang adunan ke dalam acuan dan kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 20 minit.
-setelah sejuk bolehlah dipotong dan digaulkan dengan kelapa bergaram.


Selamat mencuba..

Wassallam.








Friday, 17 January 2014

Resepi Ayam Masak Kicap

Assalamualaikum

Kadang-kadang saya buntu tidak tahu  nak masak apa tetapi  ayam memang sentiasa ada dalam peti sejuk, bila bawa keluar ayam letak disinki dapur anak comel  saya dah sibuk suruh masak kicap.

Suka benar dia makan lauk ini dengan nasi panas dan ia juga menjadi bekal wajib kami apabila pergi bercuti kerana Ia tidak mudah basi.



Kalau nak tahu macam mana rasa ayam masak kicap ini bolehlah cuba resepi seperti dibawah :-

Bahan-bahan
-seekor ayam saiz sederhana potong kecil ( kalau nak potong besar pun boleh cuma bila goreng tu lambat sedikit nak tunggu masak)
- kicap manis dalam 15 sudu besar atau agak-agak ikut keperluan ( saya guna kicap manis cap kipas udang)
-2 sudu sos tomato 
-1 sudu cuka ( saya guna brand jalen) atau jus limau 
-sebiji bawang besar dihiris
-kentang 3 biji saiz sederhana ( boleh kurangkan ikut selera masing-masing)
-1 sudu kecil serbuk ketumbar

Bahan tumbuk
-separuh dari sebiji bawang besar
-2 cm halia muda
-5 biji ulas bawang putih

Bahan yang perlu digoreng 
-ayam digaul dengan kunyit, garam secukup rasa dan sedikit gula 
-kentang dihiris dan digaul dengan garam dan kunyit

Cara-cara memasak
-tumiskan bahan tumbuk dengan sedikit minyak sehingga bahan menjadi perang
-masukkan kicap manis, sos tomato, cuka atau jus limau dan serbuk ketumbar
-tambah sedikit air 
-masukkan bawang hiris kacau sebati hingga bawang masak
-masukkan ayam dan kentang yang telah digoreng gaul sebentar dan tutup api masak.

Siap untuk dihidangkan, selamat mencuba :).  

Wassallam





Monday, 30 December 2013

Resepi kuih Buah Melaka/Ondeh2 Mudah

Assalamualaikum

Sesekali buat kuih ini untuk minum petang terasa nikmatnya, dimeriahkan lagi dengan bantuan anak-anak. Resepi untuk kuih ini banyak versi, saya gunakan pewarna dan perisa pandan tanpa daun pandan. Jom lihat bahan dan cara membuatnya.




Bahan-bahan 
-500 gm tepung pulut
-4 sudu besar tepung gandum
-air secukupnya
-1/2 sudu teh pewarna hijau
-1 sudu teh perisa pandan
-1 keping gula melaka dipotong kecil (lebih mudah gunakan serbuk gula merah)
-kelapa parut secukupnya dan dicampurkan dengan sedikit garam

Cara-cara Membuat
- Gaul tepung pulut dan tepung gandum lalu  masukkan pewarna hijau dan perisa pandan juga  air yang dituang sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh.
-Ambil doh sebesar ibu jari dan gentel menjadi bulat dan tekan menjadi leper
-Letakkan  gula melaka yang dipotong kecil atau sedikit serbuk gula merah dan tutup doh lalu bulatkan semula
-Didihkan air secukupnya didalam periuk dan masukkan doh yang telah diisi gula merah
-Angkat kuih apabila ia timbul dipermukaan dan toskan airnya 
-Kemudian gaulkan dengan kelapa parut bergaram dan boleh la dihidangkan

 Jika tiada daun pandan didapur  kuih ini masih boleh direalisasikan tetapi harus ada perisa pandan dan pewarna ( boleh juga gunakan pewarna lain seperti merah, kuning dan lain-lain)

Selamat mencuba.

Wassallam







Saturday, 21 December 2013

Resepi Acar Timun Berempah

Assalamualaikum

Bila makan nasi minyak atau nasi planta rasa macam tak lengkap kalau tidak ada acar. Suami saya yang bagi resepi ini, rasanya dia gunakan khidmat 'cik google'. Saya ubah sedikit dari resepi asal yang diberi. Rasa macam makan lauk kenduri kahwin dan tak payah manapun nak membuatnya. 

Jika ada rancangan untuk memasak  nasi minyak atau nasi planta bolehlah jadikan resepi ini sebagai salah satu menu untuk lengkapkan hidangan. Mari lihat bahan dan cara membuatnya.



Bahan-bahan
-Sebatang Timun ( potong memanjang dan buang isi putih dan hiris halus)
-Sebatang karot ( hiris halus)
-1 sudu rempah kari
-1 sudu cili kisar
-1 sudu biji sawi
-1 batang kulit kayu manis
-2 kuntum bunga lawang
-2 sudu gula
-2 sudu jus limau ( saya guna yang dalam botol)
-sedikit garam
-sedikit bawang besar dipotong memanjang
-sebatang cili merah atau 3 biji cili padi- dihiris ( kalau tak nak letak pun tak apa)
-air secukupnya

Bahan-bahan tumbuk
-separuh dari bawang besar
-3 biji bawang putih
- 3cm halia
-segengam kacang tanah ( sangai atau goreng) - ditabur pada acar yang telah dimasak

Cara-cara
-tumiskan bahan-bahan tumbuk  dengan sedikit minyak masak sehingga keperangan kecuali kacang tanah
-masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan biji sawi kacau sebati
-masukkan cili kisar dan masak sehingga cili garing
-masukkan serbuk kari dan sedikit air (jangan terlalu banyak jika agak pekat tambah lagi air)
-masukkan jus limau, gula dan garam ( rasa ikut selera masing-masing)
-masukkan bawang potong dan cili hiris 
-masukkan timun dan karot hiris kacau selama 2 minit dan tutup api masak ( untuk mengelakkan timun dan karot menjadi lembut)
-taburkan kacang tumbuk dan gaul sebati


Selamat mencuba.

Wasallam

Saturday, 14 December 2013

Resepi Ikan Siakap Stim dengan Pemanggang Ajaib

Assalamualaikum

Saya tak tahu kenapa orang menggelarnya pemanggang ajaib mungkin fungsinya yang boleh memasak pelbagai jenis makanan, yang ini jenis vantage.


Selain membakar dan memanggang, saya masak ikan  ala-ala stim dan rasanya sedap. Sesiapa yang ada alat pemanggang ini bolehlah cuba tak perlu periuk kukus bagai nak buat ikan stim.

Mari lihat resepi ikan Siakap Stim

Bahan-bahan 
-seekor ikan siakap ( boleh guna ikan lain ikut selera masing-masing)
-1 batang serai ( dihiris- kalau serai kurus gunakan 2 batang)
-2 inci halia (dihiris)
-3 sudu besar jus limau ( saya guna jus limau  dalam botol)
-1 sudu besar garam
-1 labu bawang besar dipotong bulat
-3 sudu sos tiram
-karot
-daun sup atau daun ketumbar

Bahan-bahan tumbuk
-5 ulas bawang putih
-separuh dari bawang besar

Cara-cara
-lumurkan sebati semua bahan-bahan hiris, bahan-bahan  tumbuk, jus limau, sos tiram dan garam lalu perapkan ikan sebentar


-letakkan sedikit air kedalam pemanggang, tunggu sehingga airnya mendidih kemudian masukkan ikan tadi dan tutupkan pemanggang dalam 7 minit


-terbalikkan ikan tadi, tambah lagi sedikit  air dan masukkan bawang potong dan karot dan tutup semula pemanggang selama 10-15 minit (boleh tambah apa saja yang di ingini seperti sayur kobis, cendawan dan lain-lain)


-saya tambah lagi air kerana anak-anak suka hirup kuahnya, rasa kuahnya dan jika perlu boleh tambahkan  lagi garam atau jus limau ikut citarasa masing-masing, setelah ikan masak taburkan daun sup atau daun ketumbar.


Keseluruhan proses untuk ikan masak adalah dalam masa 20-30 minit. Kalau rajin bolehlah lengkapkan lauk pauk lain seperti tomyam, sotong goreng tepung dan lain-lain terasa macam makan direstoran 'seafood' dan yang penting air tangan sendiri.

Selamat mencuba.. :)

Wassallam.













Saturday, 7 December 2013

Resepi Kuih Seri Muka

Assalamualaikum

Kuih seri muka ni memang 'everlasting' kalau ada kenduri kendara kebiasaanya pasti menjadi hidangan untuk tetamu. Saya minta resepi ini dari kawan selepas makan kuih ini dirumahnya, rasa sedap dan cara membuatnya juga mudah. Mari  lihat resepinya.



Bahan-bahan Lapisan Bawah
-500gm beras pulut
-400ml santan sederhana pekat ( jika guna santan dalam tin guna 300gm dan tambah air lagi 100gm)
-sedikit garam
Masak pulut hingga masak ( samada melalui cara kukus atau lebih mudah masuk dalam microwave)

Bahan-bahan Lapisan Atas
-3 biji telur
-140gm gula
-450ml santan pekat (guna santan tin 400ml dan tambah kan 50ml dari lebihan santan untuk lapisan bawah tadi)
-setengah sudu kecil garam
-1 sudu kecil pandan paste
-sedikit pewarna hijau
-120gm tepung gandum 
-3 sudu besar tepung jagung

Cara-cara Membuat Lapisan Atas
-pukul telur dan gula hingga kembang
-masukkan santan, garam & pandan paste juga pewarna hijau lalu dipukul rata
-masukkan tepung gandum dan tepung jagung dalam adunan tadi dan kacau sebati
-masak sekejap atas dapur dengan api perlahan dalam 1-2 minit sehingga adunan agak pekat


-tekan atau ratakan pulut yang telah dimasak tadi kedalam loyang atau tin cake 11' (tekan padat agar lapisan atas tidak mengalir kedalam pulut)
-tapiskan adunan lapisan atas yang telah dipanaskan dan tuang diatas pulut 
-kukus dalam 40-45 minit atau hingga lapisan atas mengeras

-sejukkan kuih ini baru lah boleh dipotong

Selamat mencuba

Wasallam



Sunday, 1 December 2013

Resepi Agar Santan Gula Merah

Assalamualaikum

Bila buat agar-agar ini dan disimpan dalam peti sejuk lalu dimakan pada waktu tengahari terasa akan nikmatnya dan lemak santannya juga terserlah. Cara penyediaan juga mudah, ia boleh diubah ke perisa pandan dengan menggantikan gula merah dengan kisaran air pandan atau perisa pandan.


Mari lihat bahan yang diperlukan juga cara-cara membuatnya.

Bahan-bahan
-25gm agar-agar
-1200ml air
-1 cawan gula merah/gula melaka ( boleh ditambah jika mahu)
-1 setengah cawan gula ( boleh dikurangkan juga ditambah ikut selera masing-masing)
-400ml santan 
-1 biji telur 
- suku sudu kecil garam
-5 ketul gula baru bersaiz sederhana (supaya agar-agar tidak mudah berair)

Cara-cara
-pukul telur dan masukkan santan juga garam lalu dikacau sebati (ketepikan)
-gunting kecil agar-agar dibasuh dan direndam selama  10 minit supaya ia cepat cair ketika dimasak
-masak air hingga mendidih dan masukkan semua jenis gula dan agar-agar, masak hingga gula larut dan sebati
-masukkan campuran telur, santan dan garam tadi
-kacau hingga mendidih dan matikan api memasak
-tapiskan ketika tuang kedalam bekas 
-kemudian sejukkan didalam peti ais

Agar-agar ini amat sesuai dijadikan pencuci mulut untuk keluarga juga hidangan untuk semua majlis.

Selamat mencuba.

Wasallam


Sunday, 24 November 2013

Resepi Kuih Donut

Assalamualaikum

Setelah  mencuba beberapa resepi donut, hanya resepi ini yang saya buat menjadi. Alhamdulillah anak-anak suka makan kuih donut ini, saya olah sendiri beberapa bahan yang digunakan. 

Mari lihat resepinya

Bahan-bahan ( untuk 26-30 ketul)
-375 gm tepung roti
-150 gm tepung gandum
-1 sudu kecil yis
-sedikit garam
-45gm gula kastor
-45gm butter (cairkan)
-2 biji telur
-195ml susu segar yang suam
-3gm bread improver ( supaya donut masih lembut walaupun telah sejuk)
-1/2 sudu kecil baking powder
-gula halus (untuk menyalut donut)

Cara2 
-masukkan semua bahan2 dan gaul sebati - kecuali susu dan butter
-masukkan susu berselang seli dengan butter cair kedalam adunan tadi
-uli hingga menjadi doh.. ( lebih mudah jika menggunakan 'stand mixer')
-jadikan doh satu bulat besar... . Masukkan kedalam bekas dan tutup dgn plastik wrap  (lebih kurang 1 jam atau hingga doh naik.)


-kemudian tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin
-buat bulat kecil dan rehatkan sebentar


- jika ada acuan boleh la dicanai dan terapkan 
-jika tiada acuan, bentukkan donat dengan membuat  lubang ditengahnya dengan menggunapkan jari


-setelah itu bolehlah  digoreng 
-pastikan  minyak cukup panas dan api tidak terlalu besar kerana donut cepat masak 
-boleh dikeluarkan dari bila warna betukar menjadi keperangan.. (Jangan sampai donut hangus ye)
-kemudian golek-golekkan dalam gula halus dan hidangkan 


Ia boleh dijadikan menu untuk sarapan pagi atau minum petang. Selamat mencuba..  :)

Wasallam




Saturday, 16 November 2013

Resepi Ayam Ungkep

Assalamualaikum

Masakan ayam Ungkep ini adalah salah satu menu yang agak popular dikalangan  orang jawa, disebabkan teman sehidup semati saya berketurunan jawa jadi ia haruslah dimasukkan dalam buku resepi saya.

Sebenarnya masakan ini mempunyai banyak versi, ini adalah versi saya yang telah diubah suai ikut selera saya yang mungkin juga selari dengan selera anda. Sekali sekali kalau ingin mengubah citarasa boleh la cuba resepi ini.




Bahan-bahan
-seekor ayam bersaiz sederhana besar
-2 sudu besar cili kisar ( kalau nak pedas boleh letak lebih)
-2 sudu besar rempah kari
-sebatang serai dititik
-garam
-1 ketul kiub ayam
-secawan air
-minyak untuk menumis

-bahan yang perlu dikisar:-
2 biji bawang besar
9 biji bawang putih
1 sudu besar ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 batang serai
1 inchi halia

Cara-cara
-panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga bahan kekuning-kuningan
-masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing
-masukkan rempah kari 
-masukkan serai yang telah dititik
-masukkan air, ini boleh ditambah ikut selera masing-masing jika ingin kan lebih kuah lebihkan sedikit lagi air
-masukkan kiub ayam dan kacau sebati
-masukkan ayam kacau lagi  hingga ayam masak 
-akhir sekali masukkan garam secukup rasa

Masakan ini sedap dimakan dengan nasi putih juga nasi lemak kalau kurang rajin nak masak ayam rendang.

Selamat mencuba

Wasallam.



Saturday, 9 November 2013

Resepi Ayam Panggang atau 'Roasted Chicken'

Assalamualaikum

Ayam panggang atau 'roasted chicken' memang sedap dimakan. Kebiasaannya kalau dibeli ada sedikit rasa masin  untuk tekak saya, tak tau la orang lain rasa macam mana, itu yang seronok buat sendiri boleh kawal rasa seperti yang kita kehendaki.

Saya dapat resepi ni dari seorang kawan semasa di UK, anak-anak suka sangat kadang-kadang saya buat guna seekor ayam tapi rasa lebih mudah anak-anak nak makan bila dah dipotong kecil lagipun ia cepat masak. Seeloknya ayam berkulit tapi boleh  juga  ayam tanpa kulit.. :)

Mari lihat resepi yang mudah ini.

Bahan2 untuk Seekor Ayam samaada seekor atau dipotong kecil ( bersaiz sederhana besar)

-ayam dipotong kecil berkulit atau tanpa kulit ( kalau seekor eloklah yang berkulit)
-kicap manis 3 sudu besar
-madu 3 sudu besar
-serbuk cili 1 sudu besar ( boleh diganti dengan serbuk paprika kalau tak nak pedas)
-paste asam jawa 1 sudu besar
-sedikit garam
-sos tiram 2 sudu besar
-serbuk lada hitam 2 sudu besar


Kesemua sukatan ini boleh dikurang dan ditambah ikut selera masing-masing



Cara2
-gaul sebati ayam dengan semua bahan-bahan diatas 
-perapkan sekurang-kurangnya 1 jam, lebih lama lagi sedap ( saya biasanya perapkan semalaman  dan bakar keesokkan harinya)
-alas dulang pembakar dengan aluminium foil atau 'baking paper' 
-bakar ayam pada dalam oven pada suhu 180C selama 30-35 minit  atau sehingga ayam masak bergantung pada saiz potongan ayam juga jenis oven Kalau seekor ayam ambil masa lebih sedikit. 


Ayam ini  sesuai dimakan dengan semua jenis nasi juga sedap jika dimakan begitu sahaja.

Selamat mencuba

Wasallam.





Tuesday, 5 November 2013

Resepi Bingka Ubi

Assalamualikum


Salam Maal Hijrah .


Kuih ini  merupakan salah satu kuih tradisional kegemaran saya. Disebabkan suka akan kuih ini saya telah mencuba beberapa resepi yang dicari  dipelbagai laman sesawang dan akhirnya  jumpa resepi yang sesuai dengan selera saya. 


Alhamdulillah pertama kali buat guna resepi ini  terus menjadi, untuk makluman saya dah kurangkan jumlah gula tapi jika yang sukakan rasa manis boleh tambahkan lagi kuantiti gula.






BINGKA UBI


Bahan2

-1 kilo ubi- parut@ blend ( saya biasa blend -potong kecil2 dan letakkan  sedikit air kemudian ditapis ambil hasil parutan sahaja)

-300gm gula melaka@brown sugar**

-200ml santan pekat - 2 helai daun pandan @ sedikit pandan paste **

-91gm gula halus

-3biji telur

-1/2 sk garam

-2 sudu besar butter@marjerin

-2 sudu besar tepung pulut


Cara2

-masak bahan bertanda **.  hingga mendidih & gula hancur-tapis & sejukkan

-campurkan gula halus, telur & mentega dan kacau rata (saya gunakan whisk)

-masukkan ubi parut, garam dan bhn yg dimasak ** kedalam campuran gula,telur dan mentega

-kacau hingga sebati

-tuang dlm loyang yg telah di lenser minyak

-bakar selama 40-45 minit pada suhu 160-180C atau hingga masak

-utk permukaan garing hidupkan api grill selama 3-5minit

-harus disejukkan dahulu baru dipotong dan dihidangkan




Boleh la cuba untuk minum petang, insyaAllah sedap rasanya... Selamat mencuba..   :)

Wasalam

Saturday, 26 October 2013

Resepi Kuih Lapis

Assalamualikum

Mula buat kuih lapis masa di UK, teringin sangat nak makan walhal sebelum ke UK tak heran pun nak jamah kuih ni. Bila dah boleh buat sendiri jadi kuih kegemaran pula, seronok tengok baris jalur tu dan 'the satisfaction making it by yourself' hanya dirasai oleh sipembuat.

Tak susah mana pun mari la cuba, saya ambik resepi dari internet juga kawan dan ubah suai sedikit.



Bahan2

-3 cawan tepung beras 

-6 cawan santan sederhana pekat (saya guna yang 1/2 kilo santan dan dicampur air)

-6 sudu besar tepung gandum

-6 sudu besar tepung jagung

-1 cawan gula pasir

- 1/4 sudu garam

-sedikit pewarna merah & perisa rose


Cara2

-lenserkan lyang dgn minyak

-panaskan pengukus dan sediakan loyang

-masukkan  semua jenis tepung dan gula dlm santan dan gaul hgga  sebati ( gunakan whisk lagi mudah)

-bahagikan kepada dua bahagian- bgn putih letak garam ( 3 cawan)

-satu bhgn letak pewarna merah dan perisa rose (4 cawan)

-tuang 1 cwn adunan  warna merah dlm loyang dan kukus selama 5 minit (ia akan mengeras dan boleh disentuh tanpa melekat dijari)

-selangi dgn warna putih , ulang proses hingga habis (awal merah  berakhir dgn merah juga - susunan warna adalah mengikut citarasa masing-masing)

-bolehlah dipotong setelah kuih sejuk dan dihidangkan


**warna kuih boleh diubah jika guna warna hijau letak la sedikit perisa pandan

**jangan lupa gunakan tepung yang bebas dari bahan pemutih


Selamat mencuba


Wasalam



Sunday, 20 October 2013

Resepi Ayam Goreng Sedap

Assalamualaikum

Kadang-kadang bila dah jemu dengan ayam goreng kunyit boleh la cuba resepi ini,  saya ambik daripada kak long tersayang. Alhamdulillah anak-anak dan suami pun suka makan ayam goreng ini, ia boleh  dimakan bersama nasi putih, nasi lemak juga nasi ayam.



Bahan2
-satu ekor ayam dipotong ikut suka masing2 
- 7 ulas bawang putih (sederhana besar)
-2 cm halia
-2 sudu besar serbuk kunyit
-1 sudu kecil  garam
-2 sudu besar gula
-3 sudu besar sos tiram

**kesemua sukatan diatas blh dikurang atau ditambah mengikut citarasa masing2**

Cara-cara
-tumbuk bawang putih dan halia
-masukkan ayam didalam bekas dan digaul sebati dengan bawang putih dan halia yang telah ditumbuk juga semua bahan-bahan diatas.
-perapkan sekurang-kurangnya sejam (lebih lama lagi sedap)

Kemudian goreng seperti biasa hingga ayam masak. Api jangan terlalu kuat kerana boleh menyebabkan daging ayam cepat hangus dan keras.

Selamat mencuba.

Wasalam