Setelah hampir 4 tahun berada di United Kingdom (Sheffield) banyak kenangan manis yang dikumpul disana. Ingin berkongsi sedikit pengalaman semasa musim sejuk (winter), kebiasaannya orang akan bertanya soalan begini ' ooo sejuk ye kat sana best la', ianya tidak seindah putih salji yang turun. Pertama kali merasa salji turun menimpa badan rasa bagai mimpi jadi kenyataan, sungguh besar kuasa Allah ianya seperti gula-gula kapas lembut dan apabila dipegang ia cair namun tidak melekit.
Salji seumpama api yang semasa kecil menjadi kawan tetapi jika besar menjadi lawan, tidak dinafikan setiap kali masuk musim sejuk masing-masing menunggu waktu kemuncaknya iaitu pabila salji turun. Salji boleh turun pada suhu 5 celcius tetapi kebiasaanya pada suhu 2 celcius kebawah dan rasa sejuk yang teramat sangat akan kurang bila salji mula turun, subhanallah cantik sungguh pemandangan ketika itu namun jika salji turun berhari-hari tanpa henti dihati ini mula timbul kerisauan. Suhu yang paling rendah yang saya rasa ketika disana ialah -20 celcius. Waktu begini bahan mentah seperti ayam, ikan dan lain-lain tak perlu disimpan didalam peti ais rasanya suhu diluar lebih rendah dari suhu peti ais. Air kopi atau teh panas yang dibuat harus di simpan didalam termos untuk memastikan ianya tidak sejuk bila hendak diminum.
Sajli yang turun lebat dalam waktu yang panjang menyebabkan banyak aktiviti terpaksa ditangguhkan. Pengangkutan awam terhenti dan sekolah akan ditutup. Ibu bapa akan diberitahu melalui sms oleh pihak sekolah untuk mengambil anak-anak pulang, jika salji turun dari malam hingga ke pagi maka sms juga akan dihantar akan pemberitahuan penutupan sekolah. (Tiada sekolah ganti untuk itu)
Suhu yang sejuk boleh membuatkan air minuman dalam botol yang ditinggalkan di dalam kereta menjadi ais pada keesokkan harinya. Jika suhu tidak naik dan tiada matahari yang keluar akan membuatkan keadaan bertambah rumit selepas salji turun dengan lebatnya. Salji yang halus mulus akan bertukar menjadi ais di atas jalan raya. Penaburan garam ke atas jalanraya akan dilakukan untuk mencairkan ais oleh pihak berwajib namun ia lebih dijalan utama tidak didalam kawasan perumahan. Suhu didalam rumah juga menjadi sangat sejuk, kebiasaanya setiap rumah pasti ada pemanas mudah alih tidak hanya bergantung kepada pemanas central kerana ia agak jimat jika digunakan diruangan yang kecil juga sebagai langkah alternatif jika berlaku sebarang kerosakkan pada 'boiler'. Stok makanan juga akan dibeli lebih awal kerana bimbang kereta tidak boleh bergerak jika salji turun berlarutan.
Namun begitu, keseronokkan jelas terpancar diwajah anak-anak yang tidak sabar untuk bermain salji, membuat 'snowman', membuat igloo dan bermain luncur salji. Persiapan pakaian harus lengkap jika ingin bermain salji untuk mengelakkan 'frostbite' juga demam kemudian hari. Aktiviti bermain salji ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran jiran-jiran yang berdekatan.
Disini saya kongsikan gambar yang diambil di pekan Firth Park, satu-satunya pokok yang masih berdaun hijau ketika musim sejuk manakala yang lain telah gugur daunnya dan hanya tinggal ranting sahaja.
Juga pemandangan perumahan disekitar jalan Ellerton Road.
Semua ini menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga, terima kasih Allah kerana memberi peluang kepada kami merasa kehidupan di negara orang (yang beriklim 4 musim) ianya mematangkan kami seperti mana ada pepatah mengatakan 'jauh perjalanan luas pengalaman' juga 'hujan emas dinegara orang, hujan batu dinegara sendiri' apa pun keadaan saya lebih selesa berada di negara sendiri.
Wasalam
Ketika salji lebat di Sheffield awal tahun ni... saya berada di sana dan sempat bermain salji di Weston Park dengan anak.
ReplyDeleteSweetie, seronok kan terutama dengan anak-anak :)
Delete