Kebelakangan ini banyak sungguh berita kemalangan jalanraya, ia berlaku bukan sahaja pada musim perayaan tetapi boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berlaku kemalangan jalanraya dan kadang-kadang sehingga meragut nyawa.
Kenapa agaknya ini berlaku, adakah disebabkan sistem jalanraya kita atau sikap pemandu sendiri. Saya berpendapat lebih kepada sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri, sifat ingin cepat tanpa menghiraukan keadaan orang lain, kecuaian dan juga kurang sabar.
Sedikit perkongsian semasa berada di United Kingdom, jalan raya mereka tidak besar (bukan lebuhraya) malah kadang- kadang hanya muat untuk lolosan sebuah kenderaan sahaja kerana rumah-rumah disana jarang yang ada disediakan tempat untuk meletak kereta. Pemilik kenderaan akan memakir kereta di hadapan rumah dan mengambil suku ruang jalan raya yang disediakan. Sepanjang berada disana, ia bukan la masalah besar bagi penduduk setempat mungkin disebabkan sikap bertolak ansur yang ada dalam diri mereka. Pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas juga amat memahami pemandu kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal, walaupun motosikal hanya berada dijalan raya ketika cuaca agak panas. Pemandu wanita seperti saya juga tiada masalah jika ingin keluar dari simpang ke jalan besar kerana ada sahaja kenderaan yang akan berhenti untuk memberi laluan. Lampu kereta tinggi akan dikedipkan sebagai tanda memberi laluan dan tangan akan diangkat sebagai tanda terima kasih sepertimana yang pemandu disini lakukan, cuma perlakuan dimana lampu kecemasan dikedipkan seketika sebagai pemberitahuan terima kasih ketika waktu malam juga hujan lebat tidak saya nampak di Malaysia.
Tali pinggang keledar amat penting dan seharusnya digunakan setiap kali masuk kedalam kenderaan, bukan sahaja untuk pemandu tetapi juga untuk semua penumpang. Kanak- kanak yang masih kecil harus diletakkan di tempat duduk khas (car seat) agar terjamin keselamatan mereka jika berlaku sebarang kecemasan tetapi ramai yang mengabaikannya malah masih ramai lagi yang memangku anak kecil duduk di hadapan, ini adalah kelemahan kita sendiri dan saya rasa pihak berkuasa harus tegas dalam menangani masalah ini.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kenderaan untuk memastikan ianya selamat untuk dipandu. Jangan lupa untuk menyelengara dan periksa kereta, pastikan enjin dan tayar kereta dalam keadaan baik sebelum memandu, jangan disebabkan kecuaian kita orang lain yang menerima akibatnya. Pengunaan telefon bimbit ketika memandu juga harus dihentikan, saya pernah melihat individu dijalanraya sedang menekan kekunci telefon bimbit sedangkan dia sedang memandu ketika itu. Jangan memandu lebih dari had laju yang ditetapkan juga memotong barisan dengan melalui laluan kecemasan, lampu isyarat sangat penting dan pastikan jarak kenderaan kita tidak terlalu rapat dengan kenderaan dihadapan.
Ya betul, malang tidak berbau tetapi kita boleh berdoa dan berusaha untuk mengelakkan nya . Pastikan semua langkah- langkah keselamatan dilakukan apabila menaiki kenderaan dan diminta semua pemandu ada sikap toleransi apabila berada diatas jalanraya. Ingat akan orang yang tersayang, Ayuh! rakyat Malaysia, gunakan sebaik-baiknya nyawa yang dipinjamkan oleh Allah kerana ia hanya ada satu sahaja dan insyaAllah perlakuan yang baik dijalanraya akan menjadi tauladan kepada anak- anak kita seterusnya generasi akan datang.
'Pandu Cermat Jiwa Selamat'
Wasalam.
No comments:
Post a Comment