Dahulu tidak ada minat langsung hendak belajar menjahit, tetapi sekarang apabila anak-anak mula membesar terasa ianya satu keperluan. Rasa tidak lengkap pula kalau tidak pandai menjahit, setakat jahit seluar koyak atau pasang cangkuk dengan jahitan tangan boleh saya lakukan walaupun tidak cantik jahitannya namun menjahit dengan menggunakan mesin jahit memang sesuatu yang amat asing bagi saya.
Permulaan kelas saya diajar cara mengukur badan yang lengkap menggunakan pita ukur kemudian melukis di kertas akan bentuk baju yang akan dipotong juga diajar cara pengiraan untuk mendapatkan ukuran 'pesak dan kekek' ( saya diajar bagaimana untuk menjahit baju kurung biasa). Rupa-rupanya nak menjahit baju kurung juga ada formula yang diperlukan. Setiap ukuran yang diambil perlu dilebihkan satu inchi (1') manakala untuk labuh baju dan labuh tangan perlu lebihkan satu setengah inchi (1 1/2') yang dipanggil 'basi'. Amat kekok rasanya ingin mengunting kain untuk buat baju kurung untuk pertama kalinya sepanjang hayat saya namun dengan tunjuk ajar dari guru jahit saya berjaya lakukannya.
Selepas itu saya diajar pula cara mengendalikan mesin jahit (saya guna mesin jahit 'Singer' ) yang mana saya langsung tidak ada pengetahuan asas untuk menggunakan mesin jahit, untuk memasukkan benang ke dalam jarum juga mencantumkan benang dari 'sekoci' dengan benang dijarum berulang kali saya lakukan barulah menjadi. Pertama yang perlu dijahit ialah mencantumkan bahagian 'kekek' dengan 'pesak' kemudian cantumkan pula dengan lengan seterusnya bahagian badan.
Agak susah bagi saya untuk menjahit dengan lurus namun kata guru yang mengajar itu adalah normal untuk pelajar baru menjadikan saya agak lega. Siap menjahit semua cantuman itu perlu pula dilakukan jahit silang pangkah di pergelangan tangan, labuh baju dan leher. Baju kurung saya telah siap namun untuk kain belum lagi bermula insyaAllah akan saya kongsikan sedikit pengalaman menjahit kain dicoretan akan datang.
Wassallam.
No comments:
Post a Comment