Tuesday 19 November 2013

Cerita Seram

Assalamualaikum

Fenomena cerita seram semakin menjadi-jadi sekarang ini bukan sahaja di pawagam, majalah,  dikaca televisyen malah juga dimuka buku. Ia ditambah lagi dengan filem seram dari luar negara.

Penerbit filem pula semakin galak untuk menghasilkan cerita-cerita seram dan rentetan itu stesyen televisyen juga berlumba-lumba menghasilkan drama dan realiti bergenre seram. Dalam seminggu ada sahaja saluran televisyen yang menyiarkan cerita seram, ia mungkin sekadar hiburan bagi sesetengah individu tetapi tidak semua beranggapan  begitu terutama para remaja.  



Antara berita yang menjadi perbualan hangat.


Baru-baru ini masyarakat kita dikejutkan dengan kehilangan seorang remaja yang dikaitkan dengan sebuah villa yang dikatakan penuh dengan misteri dan akhirnya beliau ditemui di tempat lain. Yang menjadi persoalannya nya ada sekumpulan remaja yang pergi ke villa tersebut untuk apa?. Secara tidak langsung pengaruh filem dan drama seram mudah mempengaruhi jiwa remaja yang sentiasa inginkan sesuatu yang mencabar. Begitu juga dengan sebuah filem seram yang ditayangkan dipawagam baru-baru ini digemparkan  dengan penonton diserang histeria. Jika kesemua cerita itu membawa kebaikkan kepada penonton rasanya tidak salah ia diteruskan tetapi secara amnya ia membawa banyak keburukkan dari kebaikkan.

Saya berpendapat pihak yang bertanggung jawab harus mengawal pengeluaran cerita-cerita sedemikian kerana ia boleh mempengaruhi   minda manusia malah boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan ajaran agama Islam kepada mereka yang kurang berpengetahuan mengenai alam mistik  walaupun tidak dinafikan akan kewujudan makhluk halus. Disini, Ibu bapa memainkan peranan penting dengan  memantau apa yang ditonton oleh anak- anak jika ianya tidak bersesuaian haruslah diterangkan kepada mereka kenapa dan mengapa kerana anak-anak yang tidak faham akan keadaan sebenar akan mencari jalan lain untuk menontonnya.

'Melentur buluh biarlah dari rebung' seelok-eloknya anak-anak kita disajikan dengan cerita-cerita yang lebih baik yakni yang boleh merangsang fikiran mereka ke arah kebaikan, saya percaya semua mahukan yang terbaik untuk anak- anak kita. 

Wasallam.


No comments:

Post a Comment